Sabah komited jayakan WKB – Dr Joachim

Sabah komited jayakan WKB – Dr Joachim

Kota Kinabalu: Sabah komited untuk memastikan kejayaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) sebagai payung dan kerangka agenda pembangunan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata kerajaan percaya kemakmuran menyeluruh rakyat dapat dicapai melalui tanggungjawab bersama, termasuk hubungan rapat di antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Dr Joachim (tiga kanan) bersama Ahmad (dua kanan).

Bagi tujuan itu, katanya Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) terus komited untuk bekerjasama dengan agensi seperti SIRIM demi memastikan harapan rakyat untuk sebuah negeri dengan ekonomi yang maju dan tawaran pekerjaan yang pelbagai akan terlaksana.

“Saya percaya bahawa SIRIM, melalui kepakaran teknikal dan pengalamannya, akan dapat membimbing pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di Sabah untuk mengubah diri mereka menjadi perusahaan yang dinamik, inovatif dan didorong oleh teknologi,” katanya ketika merasmikan Hari Keterlibatan SIRIM Bersama Industri, di sini, hari ini.

Dr Joachim (tiga kiri) menyaksikan pertukaran MoU di antara Dr Ahmad (dua kiri) dengan Shaheddrul R Joddari.

Senentara itu, Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah kini mencecah RM80 bilion namun sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK hanya 7.5 peratus.

Katanya, sumbangan sektor pembuatan mesti mencapai sekurang-kurangnya 35 peratus agar Sabah menjadi sebuah ekonomi yang lebih maju.

“Justeru, saya menaruh harapan tinggi kepada SIRIM untuk turut sama menyumbang ke arah pembangunan ekonomi di Sabah dan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan pertumbuhan industri, khususnya sektor pembuatan di negeri ini.

“SIRIM telah banyak menyumbang ke arah pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana di Sabah (PMKS).

“Kewujudan SIRIM sebagai salah satu agensi terawal di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah menjadi pemangkin kepada agensi kerajaan persekutuan yang lain untuk menubuhkan kemudahan di KKIP.

“Kehadiran SIRIM di Sabah adalah sangat relevan dan merupakan pelengkap kepada keperluan kualiti dan standard bagi industri tempatan,” katanya.

Dr Joachim juga berkata, Sabah tidak boleh lagi menggunakan kaedah yang sama dalam membangunkan ekonomi seperti yang dilakukan selama beberapa dekad lalu.

“Kita perlu sedar dengan kepentingan bakat, teknologi, inovasi, automasi, kawalan kualiti dan yang paling penting, kita perlu menyelaraskan inisiatif dan program kita untuk menyokong perniagaan tempatan.

“Hanya dengan itu, kita boleh meletakkan diri kita untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan menggapai kekayaan untuk rakyat Sabah.

“Saya percaya program hari ini yang diselaraskan oleh SIRIM dan rakan kongsinya, akan memberi manfaat kepada industri dan usahawan di Sabah untuk menerima dan mengadaptasi teknologi dan inovasi untuk perniagaan,” katanya.

Beliau berharap peserta program itu mengambil peluang untuk menjalin hubungan dan kerjasama, membuka potensi perniagaan yang belum diterokai dan bersama-sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Program Keterlibatan SIRIM Bersama Industri itu menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti industri dan usahawan di Sabah.

Kira-kira 300 wakil agensi kerajaan, industri, persatuan, institusi pengajian tinggi dan usahawan tempatan dalam pelbagai sektor termasuk industri makanan & minuman, industri pertanian, perikanan, penternakan dan perladangan serta industri pembinaan di Sabah mengambil bahagian dalam program itu.

Bertema Merapatkan SIRIM Dengan Komuniti dan Industri, program pada hari ini menekankan kepentingan penyelidikan dan pembangunan, pengurusan tenaga, kualiti, latihan, pengujian dan pensijilan.

Sementara itu, Pengerusi SIRIM Berhad, Tan Sri Ir Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata, bagi membantu merancak dan menyokong ekonomi di Sabah, SIRIM telah membuka hab baharu di pejabat SIRIM Sabah dalam bidang tentukuran atau calibration, melalui anak syarikatnya, SIRIM Standards Technology Sdn Bhd.

“Hab penentukuran baharu ini menawarkan perkhidmatan penentukuran elektrikal, suhu, tekanan, jisim dan dimensi selaras dengan komitmen Kumpulan SIRIM untuk terus meningkatkan perkhidmatan dan lebih mudah diakses oleh pelanggan terutama di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan perkhidmatan penentukuran di negeri di Sabah adalah untuk menyokong saranan dan permintaan daripada pelbagai pihak sama ada daripada agensi mahupun industri di negeri ini.

“Kewujudan SIRIM sejak 1975 dan dengan lebih 40 tahun pengalaman, mampu menawarkan aplikasi teknologi dan peningkatan produktiviti dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, minyak dan gas, serta perkhidmatan.

“Melalui aktiviti pembangunan usahawan, SIRIM telah berjaya membantu lebih 1,000 pengusaha di seluruh Sabah dalam pelbagai jenis perkhidmatan seperti pengujian, latihan, perundingan, pembangunan dan pematuhan standard, pembangunan produk, automasi, penambahbaikan proses dan sebagainya,” katanya.

Pada majlis yang sama, SIRIM turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) dalam bidang penyelidikan melalui perkhidmatan teknikal dan pembangunan produk atau sistem bagi meningkatkan kebolehupayaan pengeluaran produk pertanian atau produk siap dalam usaha menangani isu keselamatan makanan khususnya di Sabah.

Ia juga bertujuan mewujudkan kerjasama dalam melestarikan usahawan atau peserta bimbingan LKTNS melalui latihan, bimbingan, audit teknologi dan pembangunan usahawan serta peningkatan produk, proses dan aplikasi ke arah Kualiti 4.0 dan Industri 4.0.

MoU itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Indera Dr Ahmad Sabirin Ashad yang mewakili SIRIM, manakala LKTNS diwakili Pengurus Besarnya, Shaheddrul R Joddari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|