Warga emas melecur selepas rumah, kenderaan musnah terbakar

Warga emas melecur selepas rumah, kenderaan musnah terbakar

Kota Belud: Seorang wanita berusia 65 tahun dilaporkan cedera melecur di bahagian belakang badan selepas rumahnya di Kampung Narinang, di sini, terbakar hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan 83 meter persegi berkenaan musnah sepenuhnya.

Pasukan bomba memadam kebakaran memusnahkan rumah dan kenderaan di Kampung Narinang, Kota Belud.

Selain itu, dua motosikal dan sebuah mini traktor yang diletakkan di rumah berkenaan dilaporkan turut musnah sepenuhnya dimamah api kebakaran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.14 pagi.

Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang 91 meter dari tangki jentera dan air sungai berhampiran.

“Terdapat seorang mangsa perempuan terlibat yang cedera melecur di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut.

Katanya, api berjaya dikawal pada jam 11.33 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.55 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|