Banduan dari IPD LD cetus Kluster Tembok di Tawau

Banduan dari IPD LD cetus Kluster Tembok di Tawau

Kota Kinabalu: Seorang banduan lelaki yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah, hari ini iaitu Kluster Tembok di Tawau.

Jurucakap harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Tembok itu dikesan apabila banduan lelaki dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dibawa masuk ke blok kuarantin di Blok Ehsan pada 11 Jun lalu.

Katanya, kes indeks kemudian telah disahkan positif Covid-19 dalam saringan hari ke-10 pada 21 Jun lalu.

“Saringan sama turut merekodkan tiga lagi kes positif dalam kalangan penghuni sel terbabit pada 22 Jun lalu.

“Berikutan penemuan itu, saringan kontak rapat yang dijalankan terhadap 61 warga tembok sehingga 23 Jun, mendapati lima lagi kes positif terdiri daripada tiga warden dan dua banduan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, setakat ini, kluster ini mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes.

Menurutnya, aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, lima lagi lokaliti di Sabah telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 28 Jun sehingga 11 Julai.

Katanya, antaranya iaitu Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kilang Sawit Bell, Kinabatangan; Kampung Tuunon; Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat dan Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti-lokaliti berkenaan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menghalang penularan kes serta mengelakkan jangkitan kepada yang individu lain,” katanya dalam satu kenyataan media laporan harian COVID-19 bagi negeri ini, pada Sabtu.

Sabah hari ini, mencatatkan pertambahan 189 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68,577 kes.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|