Kerajaan negeri akan laksana pemulihan terumbu karang

Kerajaan negeri akan laksana pemulihan terumbu karang

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan mengambil langkah pemulihan terumbu karang di Pulau Mabul, Semporna yang dilaporkan musnah akibat dilanggar tongkang muatan bahan binaan, semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin (gambar di atas) berkata, pihak kementerian sudah mengarahkan Taman-Taman Sabah untuk membuat penilaian tahap kerosakan di lokasi berkenaan.

Katanya, ia perlu dilakukan bagi mengetahui tahap pemulihan yang diperlukan bagi memastikan terumbu karang dapat dipulihkan.

“Taman-Taman Sabah akan melaksanakan kerja pemulihan serta-merta termasuk memposisikan semula terumbu karang yang rosak dan terbalik supaya ia dapat dipulihkan.

“Hasil maklumat awal, tongkang terbabit dikatakan membawa bahan binaan untuk projek pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Pulau Mabul,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mengikut rekod Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS), projek pembinaan FOB itu sudah mendapat kelulusan Laporan Cadangan Langkah-Langkah Pengurangan (PMM) pada 8 Februari lalu.

“Bagaimanapun JPAS akan menjalankan siasatan bagi memastikan tiada pelanggaran dalam syarat kelulusan PMM yang dikeluarkan.

“Beberapa pegawai dari Pejabat Daerah Semporna dan agensi berkaitan juga sudah membuat pemeriksaan dan tongkang terbabit sudah dialihkan dari kawasan terumbu karang di pulau berkenaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|