Ibu empat bulan bersalin terima vaksin

Ibu empat bulan bersalin terima vaksin

Kota Kinabalu: Seorang ibu yang baru melahirkan anak empat bulan lalu bersyukur kerana sudah selamat menerima vaksin Covid-19.

Faizahwanti Mantasal, 35, berkata sebagai ibu kepada lima cahaya mata berumur antara empat bulan sehingga 12 tahun, kebimbangan tentang keselamatan anak-anak sekiranya saya dijangkiti Covid-19 sentiasa bermain difikirannya memandangkan kadar kes positif yang masih banyak ketika ini.

Menurut Faizahwanti, dia berasa lebih selamat selepas divaksin berikutan suaminya yang bertugas di Lima Skuadron Semboyan Briged (5SSB) juga sudah menerima vaksin lebih awal sebelum ini.

Mengulas lanjut tentang pemberian vaksin secara pandu lalu terbabit, dia memuji langkah berkenaan ekoran dilihat memudahkan penerima selain lebih teratur dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Berbanding ambil vaksin ditempat terbuka seperti depan dan hospital, langkah ini dapat mengelakkan jangkitan sekaligus memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Faizahwanti Mantasal 35, (kanan) bersama suaminya selepas menerima vaksin pada Program Vaksinasi Pandu lalu Tentera Darat di Kem Lok Kawi.

Seorang lagi penerima vaksin pandu lalu, Jeffrey Saflan, 46, berkata awalnya dirinya sempat bimbang sebelum menerima suntikan disebabkan terbaca pelbagai khabar angin berkaitan suntikan vaksin.

Jeffery Saflan, 46, turut menerima vaksin pada program berkenaan.

“Mula-mula memang risau tetapi selepas sampai sini dan terima suntikan setakat ini tiada kesan sampingan yang saya alami.

“Tambahan pun, perkhidmatan vaksin pandu lalu ini memang cukup membantu dari segi mempercepatkan proses vaksin.

“Ia juga memudahkan penerima kerana kita tidak perlu beratur dan menunggu lama seperti di pusat pemberian vaksin (PPV) lain.

“Saya harap langkah sama boleh dilaksanakan di lokasi lain agar pemberian vaksin khususnya di Sabah dapat mencapai imuniti kelompok,” katanya ketika ditemui pada Program Vaksinasi Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Lok Kawi, dekat sini, sebentar tadi.

Turut hadir meninjau program sama Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|