Polis jejaki tiga pesakit melarikan diri dari Hospital Mesra, Bukit Padang

Polis jejaki tiga pesakit melarikan diri dari Hospital Mesra, Bukit Padang

Kota Kinabalu: Tiga pesakit yang menerima rawatan di Hospital Mesra Bukit Padang, di sini, melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang wad di hospital berkenaan, pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11 pagi tadi membabitkan tiga pesakit lelaki iaitu Mohd Azrul Dorah, 28, Mohamed Hidswan Jumalti, 34 dan Mohammad Sobrie Muali, 32 tahun.

Mohd Zaidi bersama anggota polis memeriksa lokasi suspek melarikan diri dari Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian disedari kakitangan hospital selepas melihat kelibat pesakit yang sedang memanjat tembok di belakang wad dipercayai cuba melarikan diri.

Katanya, menyedari perkara itu, kakitangan hospital terus memaklumkan kepada rakan sekerjanya bagi mendapatkan bantuan pengawal keselamatan untuk menangkap pesakit terbabit.

Contoh pakaian suspek ketika melarikan diri dari Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu, pagi tadi.

“Bagaimanapun, ketika itu semua pesakit terbabit gagal ditemui walaupun usaha mencari dijalankan di sekeliling kawasan hospital berkenaan.

“Kakitangan hospital kemudian kembali ke wad untuk membuat pemeriksaan berkaitan identiti tahanan yang melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan mendapati hanya tiga pesakit keseluruhannya yang melarikan diri.

Katanya, siasatan awal mendapati, pesakit Mohd Azrul dimasukkan ke Hospital Mesra pada 17 November lalu atas kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala Mohamed Hidswan dan Mohammad Sobrie dimasukkan ke hospital pada 30 November lalu dan 1 Disember lalu atas kesalahan Seksyen 39C.

“Semua pesakit yang melarikan diri adalah tahanan yang terbabit dalam kes narkotik dan dimasukkan ke Hospital Mesra, Bukit Padang atas arahan Mahkamah mengikut Seksyen 342 CPC kerana disyaki mempunyai masalah mental dan diarahkan untuk menjalani rawatan sebelum dihadapkan kembali ke mahkamah,” katanya.

Tambah Mohd Zaidi lagi, ketika semua suspek melarikan diri, mereka berpakaian baju hijau dan seluar pendek hijau.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dilakukan di sekitar bandar raya ini.

“Orang ramai yang melihat suspek atau mempunyai maklumat kes ini segera menghubungi pegawai Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau 088-529222,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|