Sabah kaji kuatkuasa pemeriksaan Imigresen di pintu masuk dari Labuan

Sabah kaji kuatkuasa pemeriksaan Imigresen di pintu masuk dari Labuan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan mendapatkan laporan Jabatan Imigresen negeri sama ada perlu atau tidak untuk melaksanakan pemeriksaan Imigresen di pintu masuk dari Labuan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara itu perlu dikaji selepas pelbagai pihak menyuarakan keperluan untuk melaksanakan pemeriksaan Imigresen di pintu masuk dari Labuan.

Ketika ini, katanya pemeriksaan Imigresen hanya dilaksanakan terhadap individu memasuki Labuan dari Semenanjung atau tempat lain tetapi tiada pemeriksaan apabila mereka memasuki Sabah.

“Mungkin amalan sehingga sekarang ini begitulah kerana apabila mereka sampai dari Semenanjung atau lain tempat mereka akan diperiksa oleh pihak Imigresen di Labuan tetapi dari Labuan datang ke Sabah ada sedikit persoalan kenapa tidak diperiksa di sini.

“Perkara ini kita akan lihat secara menyeluruh rasional yang berlaku kerana selama ini amalannya memang seperti itu tetapi ada permintaan daripada rakyat kita supaya mereka yang datang ke Sabah juga diperiksa oleh Imigresen di Sabah.

“Jadi, kita akan kaji perkara ini, kalau ianya perlu dilaksnakan atau tidak, nanti kita akan dapatkan laporan daripada pihak Imigresen negeri,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan sesi taklimat mengenai Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah, di Mini Auditorium, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Hajiji diminta mengulas rungutan pelbagai pihak mengenai ketiadaan pemeriksaan Imigresen di pintu masuk dari Labuan seperti di Menumbok menyebabkan tiada rekod kemasukan individu khususnya warga asing yang datang dari Labuan.

Berikutan itu, ramai yang menyuarakan agar pemeriksaan Imigresen dilaksanakan di semua pintu masuk dari Labuan, termasuk di Menumbok agar tiada lagi warga asing mengambil kesempatan terhadap kelompongan yang berlaku bagi mengelak dikesan pihak berkuasa apabila berada melebihi tempoh dibenarkan di negeri ini.

Dalam hal lain, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata beliau akan berbincang dengan semua pemimpin parti komponen gabungan itu mengenai cadangan mendaftarkan GRS sebagai sebuah gabungan politik rasmi di Sabah.

“Kita mesti duduk berbincang dengan mereka dan kalau itu baik untuk politik Sabah dan GRS, saya percaya mereka akan setuju. Kita akan buat keputusan nanti selepas berbincang.

“InsyaAllah dalam masa terdekat ini kita akan panggil satu mesyuarat dengan semua parti dalam GRS. Kita akan bincang banyak perkara mengenai isu-isu yang ditimbulkan,” katanya mengulas cadangan untuk mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi yang sebelum ini mendapat reaksi positif pelbagai pihak dalam gabungan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|