RUU pindaan perlembagaan adalah hasil kegigihan Sabah, Sarawak tuntut hak MA63 – Hajiji

RUU pindaan perlembagaan adalah hasil kegigihan Sabah, Sarawak tuntut hak MA63 – Hajiji

Kota Kinabalu: Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan agar selari dengan kehendak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sedang dilaksanakan adalah hasil kegigihan Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan hak kedua-dua negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau dan rakan sejawatannya di Sarawak menghantar tuntutan kedua-dua negeri berkaitan perkara itu melalui Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

Hajiji bersama Maximus dan Ronald pada sesi taklimat MKMA63 bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.

“Oleh itu, RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sebenarnya adalah produk hasil daripada keputusan MKMA63 yang mengambil kira permintaan dari kedua-dua negeri, Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan melihat pembentukan MKMA63 sebagai fasa penting dan manifestasi daripada kesediaan kerajaan hari ini untuk menyelesaikan isu yang dipersetujui sebelum ini,” katanya ketika menyempurnakan sesi taklimat MKMA63 bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah, di Mini Auditorium, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Pertanian dan Induatri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Taklimat khas itu disasar untuk memberi maklumat terperinci mengenai perkembangan terkini kepada ADUN berhubung tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak yang dikemukakan kepada kerajaan persekutuan melalui MKMA63.

Pada program itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan kuasa untuk mengeluarkan lesen perikanan laut dalam kepada kerajaan negeri yang diterima oleh Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan daripada Ronald.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata sebuah jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Datuk Seri Masidi Manjun turut diwujudkan untuk melakukan rundingan bagi mendapatkan lebih banyak bahagian hasil sektor minyak dan gas daripada PETRONAS.

“Saya sendiri bertemu secara peribadi dengan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETRONAS untuk membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang akan ditandatangani tidak lama lagi.

“Melalui CCA, Sabah akan mendapat perkongsian hasil yang lebih besar, selain penyertaan lebih luas dalam hal berkaitan minyak dan gas,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|