Dua lelaki curi kabel ditahan ketika sembunyi dalam semak

Dua lelaki curi kabel ditahan ketika sembunyi dalam semak

Kota Kinabalu: Tindakan pantas polis menjalankan pemeriksaan selepas menerima maklumat awam berjaya menahan dua lelaki yang melakukan jenayah mencuri kabel elektrik, di Jalan Sulaman Manggatal, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.27 malam itu, kedua-dua suspek dikatakan cuba berselindung di sebalik kawasan semak bagi mengelakkan dikesan.

Dua lelaki ditahan ketika melakukan jenayah curi kabel elektrik di Jalan Sulaman Manggatal.

Namun sebaik disedari orang awam, maklumat terus disalurkan kepada pihak polis dan serbuan terus dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, maklumat disalurkan orang awam yang berada berhampiran lokasi selepas menyedari kegiatan kedua-dua suspek yang mencurigakan.

Katanya, sebaik serbuan dilakukan, pasukan operasi mendapati dua suspek berusia 40 dan 49 tahun sedang melakukan kegiatan mencuri kabel elektrik milik Sabah Elektrikcity Sdn Bhd (SESB).

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek tinggal di Kampung Suang Parai, Alamesra dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Suspek berusia 49 tahun terbabit mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, empat kes mencuri serta pecah masuk rumah,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua suspek terus ditahan dan beberapa kabel yang dicuri serta peralatan termasuk pemotong besi dan gergaji besi yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan memotong kabel berkenaan turut dirampas.

Katanya, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis methapetamine dan amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|