Barang keperluan harian murah di PJKM

Barang keperluan harian murah di PJKM

Putatan: Hampir 1,000 penduduk di sekitar daerah ini menyerbu Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) untuk membeli pelbagai barang keperluan harian dengan tawaran harga yang lebih rendah dari pasar raya.

Tinjauan mendapati, PJKM yang diadakan di pekarangan Majlis Daerah Putatan, di sini, mendapat sambutan menghangatkan daripada penduduk sekitar terutama mereka daripada golongan B40.

Georgie membuat tinjauan melihat PJKM yang berlangsung di pekarangan Majlis Daerah Putatan.

Menurut seorang pengunjung, Salamah Abidin, 40, dia berkunjung ke program itu selepas menerima maklumat ada pelbagai barangan keperluan harian daripada pelbagai pasar raya dijual di situ.

“Tetapi saya tidak sangka harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada biasa yang di beli di pasar-pasar raya sekitar daerah ini.

PJKM mendapat sambutan orang ramai sekitar Putatan.

“Dapatlah saya berjimat atau beli barangan lebih untuk stok terutama barangan keperluan harian jenis kering seperti tepung, makanan dalam tin, minyak masak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas membeli belah di PJKM, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, program itu dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember lalu.

Katanya, PJKM kini diperluaskan seluruh negeri termasuk di Sabah bermula hari ini.

“Pelaksanaan PJKM yang dikendalikan oleh KPDNHEP ini diadakan sebagai inisiatif Kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.

“Program ini merupakan kerjasama di antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi-agensi di bawahnya dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia dan negara.

“Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan untuk tempoh tiga bulan bermula 4 Disember 2021 merangkumi kesemua 222 kawasan parlimen di lokasi-lokasi yang akan ditentukan dan diumumkan kelak,” katanya.

Sebelum itu, PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

Antara barang-barang yang dijual semasa program ini termasuk ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, beras dan barangan yang telah diproses.

Rakan strategik dari kalangan pemain industri yang terlibat dalam PJKM ini adalah BATARAS, Nestle, Imbas Jaya, Sazarice Sdn Bhd, Kina Enterprise dan QL Resources Berhad.

Sehubungan itu, Georgie berkata, diharap PJKM diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.

“KPDNHEP juga ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“Rakyat diseru supaya bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara,” katanya.

Katanya lagi, pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan penyaluran aduan, orang ramai khususnya rakyat Sabah boleh buat menerusi aplikasi WhatsApp di 0192794317, aplikasi ez-Adu atau melalui emel ke aduan@kpdnhep.gov.my,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|