Polis buru enam penghuni Puspen melarikan diri

Polis buru enam penghuni Puspen melarikan diri

Papar: Enam penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Papar, di sini, diburu selepas melarikan diri, Sabtu lalu.

Semua keenam-enam lelaki berusia 20 hingga 40-an terbabit dikenalpasti sebagai rakyat tempatan yang dilaporkan baru saja dimasukkan ke pusat berkenaan sekitar hujung November lalu.

Ketua Polis Daerah Papar menunjukkan enam penghuni Puspen Papar, yang diburu selepas melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendam Batholomew Ak Umpit berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 6 pagi dalam keadaan cuaca hujan.

Katanya, polis percaya usaha melarikan diri itu adalah terancang membabitkan 11 penghuni Puspen namun hanya enam berjaya keluar dengan memanjat tembok pagar pusat berkenaaan.

Enam penghuni Puspen Papar yang melarikan diri.

“Mereka dipercayai menaiki tembok pagar dengan memanjat badan antara satu sama yang lain sehingga berjaya keluar. Namun lima daripada mereka gagal berbuat demikian disebabkan pagar terlalu tinggi.

“Semua suspek berpakaian biasa ketika kejadian dan semua suspek terbabit dipercayai masih berada di sekitar daerah Papar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, hari ini.

Batholomew berkata, usaha memburu semua suspek sedang giat dijalankan kerana pihaknya bimbang akan berlaku kejadian tidak diingini seperti pecah rumah atau jenayah lain.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tahanan ini diminta supaya berhubung dengan bilik gerakan IPD Papar di talian 088-916064.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Alif Mohd Razali ditalian 010-2611012,” katanya.

Batholomew berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana lari dari tahanan serta tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|