Biar SPR tentukan PRK Bugaya

Biar SPR tentukan PRK Bugaya

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan keputusan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Bugaya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, perkara itu juga telah dibahaskan di peringkat Parlimen sebelum ini.

Mohd Shafie ketika sidang akhbar di pejabatnya di Kolombong, Kota Kinabalu.

“Namun demikian saya tidak ingin menjejaskan nyawa manusia yang ada, kita serahkan kepada pihak berwajib iaitu SPR tetapi untuk memberi hak dan kebenaran untuk mengadakan pilihan raya supaya mereka mempunyai wakil yang sahih dari tempat itu.

“Kita serahkan kepada SPR, saya sudah pun berhubung dengan SPR tentang perkara ini dan kita telah bangkitkan dalam Parlimen,” katanya ketika ditanya berhubung perkembangan berkaitan PRK Bugaya dalam sidang media di pejabatnya di Kolombong, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, pihaknya hanya menunggu makluman daripada pihak berkaitan berhubung keputusan untuk mengadakan pilihan raya di kawasan Bugaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, PRK DUN Bugaya hanya boleh dilaksanakan jika pengisytiharan darurat di kawasan itu ditarik semula.

Kerusi DUN Bugaya diisytiharkan kosong setelah penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada 17 November 2020.

Diminta mengulas berhubung sama ada parti dominan masih releven di negara ini, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan menyifatkan politik di negara ini tidak memerlukan sebuah parti dominan.

“Untuk mengekalkan semak dan imbang di negara ini, tidak harus wujud sebarang parti dominan yang menguasai politik negara.

“Sistem politik negara ini memerlukan kewujudan pembangkang bagi melakukan semak dan imbang dan bukannya menandatangani memorandum yang menghalang kebebasan wakil rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|