Covid-19 Sabah: 6 daerah tiada kes baharu

Covid-19 Sabah: 6 daerah tiada kes baharu

Kota Kinabalu: Enam daerah tidak mencatat sebarang kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikannya antara laporan sifar kes tertinggi di Sabah selepas kira-kira enam bulan.

Daerah terbabit ialah Semporna, Kinabatangan, Kunak, Nabawan, Tongod dan Kalabakan, manakala tiga daerah hanya mencatat satu kes baharu hari ini iaitu Telupid, Lahad Datu dan Sandakan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan 11 daerah mencacat kes satu angka hari ini dengan lapan daerah lagi ialah Kudat (9), Ranau (8), Kota Marudu (7), Sipitang (6), Tenom (6), Pitas (4), Kuala Penyu (3) dan Beluran (2).

Katanya catatan itu, selain penurunan kes di beberapa daerah menjadi penyumbang penurunan kes secara keseluruhan di Sabah hari ini dengan 271 kes baharu berbanding 294 kes semalam.

“Kes harian Covid-19 di negeri Sabah terus menurun dan hari ini jumlahnya ialah 271 kes, iaitu 23 kes lebih rendah berbanding jumlah kes semalam.

“Kota Kinabalu merekodkan penurunan 22 kes hari ini berbanding jumlah semalam sekali gus turun ke tangga kedua sebagai penyumbang terbanyak kes baharu di Sabah.

“Jumlah kes terbaharu di Tuaran iaitu 43 kes adalah yang tertinggi di Sabah hari ini dengan pertambahan 10 kes berbanding semalam. Daerah Putatan pula menambah 15 kes baharu dan melonjak naik ke tempat ketiga tertinggi jumlah kes harian.

“Daerah Ranau terkeluar daripada kumpulan `Empat Serangkai’ dengan mencatat hanya lapan kes baharu berbanding 28 kes semalam,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata secara keseluruhan, jumlah kes baharu di kebanyakan daerah di Sabah menampakkan penstabilan.

Katanya, sebanyak 23 daripada 27 daerah di Sabah merekodkan jumlah kes baharu di bawah 20, manakala 17 daripadanya mencatat kes satu dan sifar kes.

“Sebanyak 263 daripada 271 kes atau 97 peratus hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, empat orang dalam Kategori 3, seorang dalam Kategori 4 dan tiada pesakit dalam Kategori 5 hari ini,” katanya.

Statistik kes Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 6 Disember 2021
Sabah 271 (294)
Malaysia 4,262 (4,298)

Tuaran 43 (33)
Kota Kinabalu 38 ( 60)
Putatan 33 (18)
Kota Belud 23 (13)
Penampang 19 (18)
Beaufort 17 (18)
Papar 15 (14)
Keningau 14 (18)
Tambunan 11 (3)
Tawau 10 (5)
Kudat 9 (3)
Ranau 8 (28)
Kota Marudu 7 (10)
Sipitang 6 (3)
Tenom 6 (7)
Pitas 4 (7)
Kuala Penyu 3 (9)
Beluran 2 (2)
Telupid 1 (1)
Lahad Datu 1 (3)
Sandakan 1 (13)
Semporna 0 (2)
Kinabatangan 0 (1)
Kunak 0 (2)
Nabawan 0 (0)
Tongod 0 (2)
Kalabakan 0 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 5 Disember 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|