Cubaan seludup barang kawalan dipatahkan

Cubaan seludup barang kawalan dipatahkan

Sandakan: Cubaan seorang individu menyeludup keluar barang kawalan gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam kejadian di kawasan Laut Batu 3, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian dikesan selepas sebuah bot pam yang disyaki membawa barang kawalan tanpa sebarang permit bertindak melarikan diri ketika cuba diperiksa.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, juragan bot berkenaan turut bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan daratan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan mendapati membawa beberapa jenis barang kawalan tanpa permit.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin pam dianggarkan sebanyak RM16,561.85 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rusdin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|