PICK Kampung Lalasun dibanjiri penerima vaksin

PICK Kampung Lalasun dibanjiri penerima vaksin

Sandakan: Sambutan luar Biasa. Itulah gambaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Jeti Kampung Lalasun, di sini, yang dihadiri lebih 500 penduduk walaupun hanya 300 yang disenaraikan.

Program yang bermula jam 9 pagi itu adalah lokasi keenam bagi PICK outreach vaksin yang diadakan bagi memberi fokus kepada penduduk di luar bandar di daerah Sandakan.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Manila, Isgau Abdullah berkata, pihaknya tidak menyangkakan sambutan yang diberikan berada diluar jangkaan awal.

Katanya, pada awalnya, program berkenaan hanya menjangkakan kehadiran 300 penerima vaksin berdasarkan kepada senarai yang diterima awal.

“Persediaan hanya untuk 300 penerima vaksin, namun kehadiran pula mencecah 500 orang. Ia mungkin disebabkan ada yang belum mendaftar di sekitar kampung di sini dan terus datang untuk mendapatkan vaksin covid-19 ini.

“Tambahan pula, ini adalah vaksin yang pertama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila iaitu di Kampung Lalasun, di sini,” katanya pada sidang media selepas program berkenaan, Sabtu lalu.

Sementara itu, rata-rata penduduk kampung yang ditemui turut meluahkan rasa syukur kerana petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang ke kampung untuk memberikan vaksin.

Mereka turut memberitahu ia memudahkan penduduk kampung untuk mendapatkan vaksin tanpa perlu keluar ke Bandar Sandakan yang semestinya memerlukan kos tinggi serta perlu menempuh perjalanan yang jauh.

Sementara itu, Penyelaras Program Outreach Vaksin Luar Bandar Sandakan, Dr Muhammad Noor Fitri Abdul Rahman berkata, walaupun keadaan tempat berkenaan agak sukar untuk disusun atur namun semuanya berjalan lancar dan teratur.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|