Kota Kinabalu: Peranan ibu bapa dalam proses pembelajaran atas talian mampu memberikan impak positif kepada motivasi anak-anak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pembabitan ibu bapa dalam proses itu turut dapat membantu para guru lebih fokus kepada aspek pengajaran.
Beliau berkata, kesediaan ibu bapa untuk terus bersama anak-anak memberikan fokus terhadap sesi pembelajaran dilihat membantu menangani isu keciciran (pembelajaran) secara tidak langsung, terutamanya ketika pandemik Covid-19.
“Sehubungan itu, saya berharap ibu bapa terus memberi dokongan dan galakan kepada anak-anak mereka supaya terus belajar serta melipat ganda usaha memastikan tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran,”katanya.
Salleh yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata demikian ketika berucap bersempena Majlis Perasmian Bengkel Keibubapaan anjuran KEMAS bagi DUN Usukan secara maya hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai konteks Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) , beliau berkata situasi penularan wabak Covid-19 telah mengubah sesi persekolahan dan kini berlangsung dengan norma pendidikan yang baru.
Jelasnya lagi, ianya yang sedikit sebanyak memberi cabaran dalam proses pembelajaran anak- anak yang sedang bersekolah.
“Peranan guru amat penting dalam menjayakan PDPR meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Guru-guru berusaha mengikut kemampuan mereka untuk mengajar anak-anak murid walaupun tidak bersemuka tetapi tidaklah semudah seperti yang dirasakan,” katanya.
-Deasoka