Tawau: Pasukan Gerakan Am (PGA) terus bergiat aktif dalam mengempur aktiviti penyeludupan dadah dengan beberapa kejayaan baru-baru ini.
Dalam kejadian terbaru, seorang lelaki ditahan bersama 19 paket dadah seberat 1.56 gram dalam operasi di Kampung Jeragam, Jalan Wakuba, di sini, semalam.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, dalam kejadian jam 11 malam itu, pasukan operasi yang sedang menjalankan pemantauan terserampak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pasukan operasi terus menahan dan melakukan pemeriksaan terhadap lelaki berusia 25 tahun berkenaan.
“Suspek kemudiannya menyerahkan satu bekas berisi 19 paket berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu.
“Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM570 berdasarkan harga pasaran semasa.
Sementara itu, dalam kes berasingan di Perairan Sungai Melayu, di sini, seorang lelaki turut ditahan selepas didapati memilik dadah.
Suspek berusia 33 tahun ditahan ketika menaiki sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di Sungai Melayu. Gambar Ihsan PGA
Abdul Rani berkata, suspek ditahan untuk pemeriksaan ketika menaiki sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
Dadah jenis syabu yang dirampas seberat 0.42 gram. Gambar ihsan PGA
Katanya, hasil pemeriksaan, suspek didapati membawa syabu seberat 0.42 gram dan terus dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.
-Deasoka