Lebih 250,000 individu layak terima dos penggalak di Sabah

Lebih 250,000 individu layak terima dos penggalak di Sabah

Kota Kinabalu: Lebih 250,000 individu layak menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Sabah yang dilaksanakan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu merangkumi kira-kira 60,000 petugas barisan hadapan dan 193,953 warga tua, selain individu dalam kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, pemberian dos penggalak dilaksanakan dalam dua peringkat bermula dengan petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan hingga 20 November depan, sebelum disusuli individu berumur 60 tahun ke atas dan golongan sakit terlantar dalam peringkat kedua.

“Pemberian dos penggalak itu adalah percuma di bawah PICK dan diberikan kepada penerima secara sukarela selepas melengkapkan dua dos dalam tempoh enam bulan lalu.

“Walaupun pemberian dos penggalak adalah pilihan individu, ia sangat disarankan untuk mengambilnya bagi mendapatkan perlindungan optimum daripada virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan program berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Pada program itu, Hajiji turut menerima suntikan dos penggalak bersama barisan Kabinet negeri yang lain termasuk Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang juga EXCO Kesihatan negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hajiji bagaimanapun berkata ketika ini Kementerian Kesihatan memutuskan suntikan dos penggalak hanya untuk mereka yang menerima vaksin jenis Pfizer – BioNTech atau Comirnaty.

Jelasnya, pemberian dos penggalak dilaksanakan di beberapa fasiliti kerajaan dan swasta yang terpilih di bawah penyeliaan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera, manakala Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan menghubungi melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mereka yang tiada aplikasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menggesa orang ramai di negeri ini supaya tidak mengabaikan langkah mencegah penularan jangkitan COVID-19 berikutan kelonggaran rentas daerah dan negeri selain pembukaan semula beberapa sektor ekonomi di negeri ini.

Tegasnya, setiap individu mesti terus mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) bagi melindungi diri dan semua yang ada di sekeliling, terutama keluarga.

“Saya juga meminta mereka yang belum divaksin supaya tampil mendapatkannya di PPV, hospital atau klinik terdekat atau melalui program jangkauan luar yang dilaksanakan di kawasan mereka.

“Tolong dapatkan vaksin. Kita mahu melandaikan kadar jangkitan COVID-19 sebanyak yang mungkin,” katanya.

Sehingga 18 Oktober, 70.8 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah menerima vaksin lengkap, manakala seramai 319,707 atau 73.67 peratus daripada 434,000 remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun pula sudah menerima suntikan dos pertama dan 50.31 peratus pula sudah lengkap vaksin.

Secara keseluruhan, seramai 2,355,859 penduduk di Sabah sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala seramai 2,140,780 sudah melengkapkan vaksin COVID-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|