Suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Sabah bermula hari ini

Suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Sabah bermula hari ini

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor adalah antara individu terawal menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Sabah yang bermula hari ini.

Program itu yang disempurnakan Hajiji di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bermula dengan penerima barisan hadapan.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata ia membabitkan penerima dalam kalangan petugas kesihatan dan bukan kesihatan termasuk anggota keselamatan seperti polis dan tentera.

Katanya, pemberian dos penggalak untuk barisan hadapan dilaksanakan sehingga 20 November depan sebelum dibuka kepada penerima dalam kalangan golongan berisiko dan berumur 60 tahun ke atas.

“Pemberian dos penggalak di Sabah bermula hari ini dengan tumpuan kepada golongan barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan.

“Ramai yang memohon untuk mendapatkan dos ini tetapi kita akan panggil siapa yang layak sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau terus dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program pemberian dos penggalak di SICC, di sini, hari ini.

Program itu menyaksikan seramai kira-kira 40 individu terdiri daripada barisan hadapan dan ketua-ketua jabatan menerima suntikan dos penggalak.

Turut menerima suntikan ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Dos penggalak diberikan kepada individu yang sudah lengkap vaksin selepas enam bulan dengan keutamaan kepada individu barisan hadapan, golongan berisiko dan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Dr Rose Nani berkata pemberian dos penggalak dilaksanakan di PPV yang masih beroperasi termasuk di PPV hospital dan klinik kesihatan seluruh negeri.

Katanya, penerima dos penggalak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera atau dihubungi pihak PPV berdekatan untuk mendapatkan suntikan.

“Selain melalui aplikasi MySejahtera, penerima dos penggalak yang dikenal pasti layak juga akan dihubungi terus oleh pihak PPV atau hospital untuk menerima suntikan masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|