Sang bedal 300 kilogram terperangkap dalam parit ditangkap

Sang bedal 300 kilogram terperangkap dalam parit ditangkap

Lahad Datu: Seekor buaya sepanjang lebih tiga meter ditangkap selepas terperangkap di dalam saluran parit, di pusat peranginan Felda Residence, Wilayah Sahabat berhampiran pantai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.25 malam itu, pihak pengurusan pusat peranginan berkenaan yang menyedari kehadiran buaya berkenaan terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap APM Sabah berkata, sebaik menerima makluman, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi penemuan pada jam 11.50 malam, pasukan operasi terus menjalankan operasi bagi memerangkap haiwan berkenaan.

“Pasukan operasi terpaksa menggunakan jerst perangkap tali untuk mengeluarkan buaya itu dari dalam parit saluran air di pusat peranginan berkenaan.

“Usaha itu akhirnya berjaya pada jam 2.11 pagi dan pihak APM terus menghubungi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk proses penyerahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, buaya berkenaan adalah jenis buaya tembaga dengan berat mencecah 300 kilogram.

Katanya, panjang buaya berkenaan adalah 3.2 meter dengan ukur lilit badan melebih satu meter.

“Buaya berkenaan selamat diserahkan kepada JHL untuk tindakan selanjutnya pada jam 2.30 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|