219 pelajar UMSKAL kembali ke kampus

219 pelajar UMSKAL kembali ke kampus

Labuan: Seramai 219 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sesi 2021/2022 akan kembali secara berperingkat ke kampus untuk sesi pengajian secara bersemuka bermula 15 hingga 31 Oktober ini.

Pemangku Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid, berkata kemasukan semula ke kampus membabitkan enam kategori pelajar berkeperluan bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian.

“Kemasukan pelajar ini melibatkan enam kategori seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini yang memerlukan kemudahan dalam kampus seperti WiFi dan lain-lain.

“Pendaftaran kemasukan berjalan lancar dan prosedur kemasukan juga perlu diikuti termasuk pelajar perlu membuat ujian calitan Covid-19 dan akan diasingkan sekiranya mempunyai gejala bagi mengelak penularan jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mohd Rizal berkata pada ketika ini, UMSKAL mempynyai 1,908 pelajar yang membabitkan pelajar tahun pertama seramai 459 orang, diikuti pelajar tahun kedua (436), tahun ketiga (402), tahun keempat (483) dan tahun kelima ke atas (128).

Selain itu, katanya seramai 459 pelajar baharu melanjutkan pengajian di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) bagi Sesi Akademik 2021/2022.

Pelajar yang baru tiba melalui Lapangan Terbang Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan disambut kakitangan Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Pembimbing Suai Mesra (PSM) sebelum dibawa terus menjalani saringan kesihatan di Klinik Rawatan Warga UMSKAL.

Mohd Rizal baru-baru ini turut menyambut ketibaan pelajar berkeperluan di Kolej Kediaman Beta UMSKAL yang turut dihadiri Pengetua, Dr Hadzariah Ismail; Penolong Pendaftar Kanan, Norhanizah Adnan dan Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar, Nur Iman Reedzal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|