Empat mangsa melecur, bot terbakar

Empat mangsa melecur, bot terbakar

Sandakan: Empat lelaki cedera melecur selepas bot yang dinaiki tiba-tiba terbakar ketika cuba menghidupkan pam air dalam kejadian di perairan Pulau Billean, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, semua keempat-empat mangsa tempatan itu dikatakan terpaksa berlindung di pulau berkenaan selepas keadaan cuaca hujan lebat.

Bagaimanapun, ketika cuba menghidupkan bot menggunakan teknik ‘jump-start’, bot berkenaan terus terbakar sebelum empat mangsa disambar api.

Jurucakap Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berkata, sebaik menerima maklumat sepasukan anggota Detasmen Bot Sandakan dan Tim Quick Reaction Force (QRF) dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya segera memberi bantuan kepada mangsa bot terbakar sebelum dibawa mendapatkan rawatan lanjut.

“Bot yang dinaiki empat warga tempatan terbabit terbakar ketika mereka cuba menghidupkan pam air ketika sedang berlindung di Pulau Billean kerana hujan lebat.

“Bot yang terbakar itu kemudiannya terpaksa dilepaskan dan hanyut ke Pulau Tegipil yang terletak berhampiran pulau berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kumpulan berkenaan memaklumkan mereka menaiki bot dari Sandakan menuju ke Kudat untuk urusan perniagaan sangkar ikan.

Bagaimanapun katanya, disebabkan keadaan cuaca hujan lebat serta mengalami masalah bot, mereka terpaksa berlindung sementara di Jeti Pulau Billean milik Reef Guardian.

“Keempat-empat mangsa bot terbakar dibawa menuju ke Pulau Lankayan oleh bot milik Reef Guardian.

“Semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Detasmen Bot Sandakan ATB 2 untuk dibawa ke Sandakan menggunakan bot VIPER 7 bagi menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDOK),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|