PETRONAS sumbang RM708,460 untuk tiga projek CSR di Sabah

PETRONAS sumbang RM708,460 untuk tiga projek CSR di Sabah

Kota Kinabalu: PETRONAS menyumbang RM708,460 sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu bagi melaksanakan tiga program kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar di Sabah.

Program yang akan dilaksanakan sepanjang Disember depan itu dikenal pasti oleh Jawatankuasa Kerja Bersama Sabah – PETRONAS, iaitu sebuah pelantar kerjasama di antara PETRONAS dan kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Sabah hari ini, program pertama yang dilaksanakan ialah pembinaan menara pemerhatian dan jeti di Kampung Pantai Emas, Kota Belud bagi meningkatkan aktiviti pelancongan dan perikanan di kawasan berkenaan.

Pembinaan kemudahan itu yang membabitkan peruntukan RM500,000 adalah inisiatif Pejabat Daerah Kota Belud untuk kemudahan pelancong dan nelayan di daerah terbabit.

“Kedua ialah program Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT), iaitu inisiatif CSR PETRONAS dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memperkasa komuniti supaya lebih bersedia menghadali situasi kecemasan selain menggalakkan semangat kesukarelawanan.

“Kira-kira 200 pemimpin akar umbi dan anggota masyarakat dari Tuaran, Papar, Beaufort dan Sipitang akan terbabit dalam program CERT bermula akhir bulan ini dengan peruntukan berjumlah RM108,460,” katanya.

Berdasarkan kenyataan itu lagi, baki RM100,000 lagi adalah untuk penganjuran Persidangan Perubahan Iklim Antarabangsa Sabah 2021 yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) pada bulan depan.

Ketua Kerajaan dan Penasihat Kawal Selia PETRONAS, Anuar Ismail menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dalam satu majlis ringkas yang disaksikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|