PGA tahan 2 lelaki disyaki pengedar dadah

PGA tahan 2 lelaki disyaki pengedar dadah

Lahad Datu: Dua lelaki ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bandar IPeak, di sini, semalam.

Dalam Op Kontraban jam 10 pagi itu, pasukan operasi Batalion 17 PGA Lahad Datu turut berjaya merampas syabu yang dianggarkan bernilai RM745.50 berdasarkan harga pasaran semasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, dalam operasi itu, sepasukan anggota dan pegawai PGA menahan sebuah kereta Proton Saga untuk pemeriksaan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya berjaya merampas satu bungkusan yang dipegang salah seorang suspek.

“Hasil pemeriksaan, bungkusan berkenaan mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 4.97 gram.

“Kedua-dua suspek terus ditahan bersama wang tunai sebanyak RM1,256 dipercayai hasil penjualan dadah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk telefon bimbit dan kenderaan suspek dianggarkan sebanyak RM 16,001.50.

Katanya, kedua-dua suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|