Ranau: Seorang penunggang motosikal parah selepas bertembung dengan sebuah lori 3 tan dalam kejadian di Jalan Kundasang – Ranau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa dikatakan terperosok di bawah lori berkenaan sebelum dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau yang tiba di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 petang.
Katanya, sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati penunggang motosikal berada di bawah lori 3 tan.
“Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang cedera di bawah lori berkenaan sebelum menerima rawatan awal dari anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pegawai perubatan.
“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Ranau menggunakan kenderaan EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini
Tambahnya, pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian memastikan tiada kemerbahayaan lain.
“Operasi ditamatkan pada jam 7.07 malam,” katanya.
-Deasoka