Pendaftaran GRS beri kebaikan kepada Sabah

Pendaftaran GRS beri kebaikan kepada Sabah

Pitas: Pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi gabungan politik rasmi jika dilaksanakan bakal memberi kebaikan kepada negeri ini sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diwujudkan di negeri jiran itu.

Mengulas cadangan pendaftaran gabungan berkenaan, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata beliau yakin semua pemimpin parti dalam gabungan itu mempunyai pandangan yang sama mengenai kebaikan untuk merealisasikan cadangan berkenaan.

Joniston (dua kanan) melancarkan rumah rehat terapung di Inap Desa Walai Ondoton, Kampung Kuyuh, Pitas.

Katanya, beliau turut meletakkan keyakinan terhadap Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS untuk mendaftarkan gabungan berkenaan dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama yang terjalin dalam kalangan parti yang membentuk GRS.

“Jika di Sarawak ada GPS, kita di sini pula GRS. Sudah terbukti sebelum ini dengan adanya GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kita berjaya meraih kemenangan pada pilihan raya itu.

Joniston (tengah) melihat kraftangan yang dihasilkan komuniti Inap Desa Walai Ondoton, Pitas.

“Berikutan itu, saya berpendapat amat sesuai untuk mendaftarkan GRS secara rasmi. Ia akan menampakkan gabungan ini lebih mantap dan saya tahu ada dalam kalangan pemimpin serta rakan-rakan parti dalam GRS mempunyai pola pemikiran serupa mengenai hal ini,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata demikian selepas merasmikan rumah rehat dan jeti terapung Inap Desa Walai Ondoton di Kampung Kuyuh, Pitas, dekat sini, hari ini.

Joniston yang juga Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulas cadangan untuk mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi bagi mengelak perpecahan, memandangkan parti dalam gabungan itu, khususnya Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) tidak sehaluan di peringkat Pusat dan negeri lain.

Semalam, Pengerusi Kelab Backbencher GRS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan supaya GRS didaftarkan bagi memperkasakan lagi gabungan itu.

Dalam pada itu, ditanya sama ada pemimpin GRS sudah mengadakan perbincangan mengenai cadangan berkenaan, Joniston berkata perkara berkenaan hanya dibincangkan secara tidak rasmi sebelum ini.

“Seperti yang saya nyatakan tadi ramai pemimpin yang sependapat mengenai pendaftaran GRS memandangkan langkah berkenaan membawa kebaikan kepada GRS itu sendiri.

“Bagaimanapun, saya percaya hal ini akan diperincikan lagi dalam masa terdekat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|