7 lelaki didenda RM3,500 rusuh guna senjata

7 lelaki didenda RM3,500 rusuh guna senjata

Tawau: Enam lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia didenda RM3,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh di Taman Traulsen Jalan Persisiran Tawau.

Semua tertuduh, Muhammad Yusof Labbang, 34, Mohd Irwan Mahmud Muli, 36, Mohd Asran Sussa, 23, Fadilah Abdul Latif, 38, Hariyanshah Hasan, 23, Jumadi Baba, 35, dan warga Indonesia Mohd Ridzwan Samo Abdullah, 36,
turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Hukuman diputuskan Majistret Dzul Elmy Yunus selepas didapati bersalah dalam pergaduhan yang berlaku sebelum tular di media sosial baru-baru ini.

Dzul Elmy turut mengarahkan Mohd Ridzwan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan pengusiran pulang ke negara asal.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didapati dengan niat bersama melakukan kesalahan merusuh dan kekerasan di Jalan Pesisiran, dalam daerah Tawau, jam 11.30 pagi, 22 November 2021.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Aslinah Asikin manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Jhesseny Kang.

Terdahulu, beberapa rakaman video pergaduhan sekumpulan lelaki di Taman Traulsen, Jalan Persisiran, tular di media sosial, pada Isnin lalu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika mahu menarik kenderaan seorang daripada mereka.

Tindakan itu mencetuskan pergaduhan sehingga mendapat perhatian warganet selepas beberapa individu berkenaan turut dilihat menggunakan beberapa alatan dalam kejadian berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|