Dua ahli perniagaan edar 70.9 kilogram syabu dihukum gantung

Dua ahli perniagaan edar 70.9 kilogram syabu dihukum gantung

Tawau: Dua ahli perniagaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar 70.9 kilogram dadah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Tan Teng Siong, 42, dan Tay Thong Keng, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Haji Karim, pada jam 12.30 tengah hari, 9 November 2018.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah mengedar 70.9 kilogram dadah dua tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka bersama seorang lagi tertuduh, Tan Teng Sang, 38, didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 38B (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 kali (jika tidak dikenakan hukuman mati).

Dalam sesi pendakwaan, Hakim Dr Lim Hock Leng berkata, pihak pembelaan tertuduh Teng Siong dan Thong Keng gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pasukan pendakwaan turut berjaya membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai niat bersama untuk menyeludup dadah berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah mendapati kedua-dua mereka bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Manakala tertuduh kedua iaitu Teng Sang dibebaskan selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan terhadapnya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam Dominic Chew, Luke Ressa Balang dan Ram Singh Harban Singh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|