PGA Sabah tahan bot tunda ceroboh taman laut, rampasan bernilai 1.45 juta

PGA Sabah tahan bot tunda ceroboh taman laut, rampasan bernilai 1.45 juta

Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam lelaki warga asing dan merampas bot tunda, peralatan serta hasil laut bernilai RM1.45 juta, di perairan Pulau Tiga, di sini, semalam.

Operasi ‘Op Bersepadu Khazanah’ (OBK) jam 10.35 malam itu dijalankan oleh Tiger Platoon Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu bersama renjer Taman-Taman Sabah (TTS) dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Turut serta dalam operasi berkenaan ialah Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika pemantauan dilakukan, pihaknya mengesan sebuah bot tunda di kawasan perairan Pulau Tiga.

Katanya, berdasarkan maklumat itu, Tiger Platoon Batalion PGA Kota Kinabalu bersama renjer Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perhutanan ke lokasi bot berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut, bot tunda berkenaan membawa hasil laut di bilik beku bot berkenaan yang dianggarkan bernilai RM200,000.

“Malah, terdapat seekor penyu sisik yang tersangkut pada pukat tunda sebaik proses menaikkan semula pukat selesai dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, turut ditahan enam kru bot berusia lingkungan 26 hingga 52 tahun dan semua mereka adalah warga Filipina dan Indonesia.

Katanya, semua ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 48(1) (c), (d) & (p) Enakmen Taman 1984 (PIN 2007).

“Kesalahan yang dilakukan adalah memasuki kawasan taman tanpa kebenaran dan menunda pukat bagi menangkap hasil laut.

“Semua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Stesen Pentadbiran Taman Pulau Tiga untuk tindakan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|