PGA Sabah patahkan cubaan seludup rokok, petrol

PGA Sabah patahkan cubaan seludup rokok, petrol

Semporna: Cubaan dua lelaki warga asing membuat penghantaran rokok seludup tanpa cukai dan petrol bersubsidi gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, bot berkenaan dikesan sepasukan anggota dan pegawai dari Tiger Platoon Batalion 14 PGA Tawau bersama pegawai Taman Taman Sabah yang melakukan rondaan Op Bersepadu Khazanah di perairan Semporna.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pasukan rondaan mengesan sebuah bot bergerak laju menghala ke kawasan daratan daerah ini.

Bagaimanapun katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, dua lelaki yang menaiki bot berkenaan terus memecut untuk melarikan diri.

“Bot berkenaan berjaya dipintas dan hasil pemeriksaan, bot berkenaan didapati membawa 10 gelen jerikin bersama 2,820 batang rokok jenama Astro tanpa cukai.

“Semua rokok dan minyak petrol berkenaan dianggarkan bernilai RM2,415 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, kedua-dua individu yang ditahan berusia 20 dan 72 tahun serta berasal dari Pulau Sitangkai, Filipina.

Katanya, rampasan dan tangkapan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai RM27,615 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|