Pengunduran Muhyiddin belum selesai kemelut politik

Pengunduran Muhyiddin belum selesai kemelut politik

Kota Kinabalu: Seperti dijangka, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri bersama seluruh anggota Kabinetnya.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak 1 Mac 2020 menyembahkan peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menghadap baginda di Istana Negara tengah hari tadi.

Seri Paduka Baginda dalam kenyataan media dikeluarkan Istana Negara juga menzahirkan bahawa baginda berkenan menerima peletakan Muhyiddin bersama seluruh jemaah Kabinetnya berkuatkuasa serta merta.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan agar Muhyiddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Secara rasmi, berakhirlah sudah isu keabsahan atau kelayakan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya yang menjadi pertikaian pihak lawan politik beliau sebelum ini.

Maka, tidak perlu lagi menunggu sidang Parlimen pada September depan untuk mengadakan usul percaya terhadap Muhyiddin kerana semuanya sudah berakhir hari ini.

Begitu juga segala tawaran Muhyiddin sebelum ini yang mencadangkan agar semua parti politik termasuk pembangkang bekerjasama melalui konsep bipartisan bagi mewujudkan kestabilan politik, sudah tidak bermakna lagi.

Sekarang, terpulang kepada Perdana Menteri baharu untuk merangka halatuju negara terutama dalam memastikan program vaksinasi Covid-19 dan menangani pandemik serta pemulihan ekonomi negara berjalan dengan lancar.

Namun, masalah baharu pula timbul apabila Perdana Menteri baharu yang menggantikan Muhyiddin belum dapat dilantik seiring dengan peletakan beliau pada hari ini.

Maknanya, kemelut politik dalam kerajaan persekutuan belum lagi berakhir sepenuhnya kerana selepas ini parti politik akan bersaing pula untuk mendapatkan sokongan terhadap calon Perdana Menteri masing-masing.

Difahamkan, ketika ini pemimpin dalam PN, Pakatan Harapan, UMNO dan beberapa lagi parti lain termasuk Parti Warisan Sabah (WARISAN) sedang sibuk berunding untuk menentukan siapa calon masing-masing bagi mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Beberapa nama calon Perdana Menteri juga ada disebut, antaranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tidak ketinggalan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Spekulasi beberapa hari lalu menyebut Ismail Sabri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri mewakili PN sejajar kedudukannya sebelum ini yang menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun dikatakan memerlukan sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menarik balik sokongan daripada PN, termasuk Ahmad Zahid selaku presiden UMNO untuk mendapatkan majoriti.

Terdapat juga khabar angin mengatakan Ismail Sabri turut berusaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen WARISAN, namun spekulasi mengatakan Mohd Shafie turut menunjukkan minat untuk menduduki jawatan berkenaan.

Pada masa yang sama, kumpulan UMNO yang menarik sokongan terhadap PN sebelum ini dikatakan mahu jawatan Perdana Menteri diputuskan kepemimpinan parti yang antara lain menyebut nama presiden selain Tengku Razaleigh sebagai calon.

Di pihak Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP dan AMANAH pula hanya satu nama disebut sebagai calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hanya PEJUANG belum menyatakan sokongan terhadap mana-mana calon Perdana Menteri, namun tidak mustahil parti itu turut mempunyai strategi sendiri termasuk kemungkinan sekali lagi menamakan Tun Dr Mahathir atau Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

Apa yang penulis cuba sampaikan ialah, kemelut politik persekutuan sebenarnya belum berakhir dengan pengunduran Muhyiddin, sebaliknya masalah baharu pula muncul iaitu untuk memilih calon Perdana Menteri yang cukup sokongan.

Penyelesaian kepada masalah itu tentunya bukan mudah, lebih-lebih lagi jika semua parti gagal mencapai kata sepakat terutama dalam keadaan jumlah kerusi setiap parti atau gabungan yang masing-masing tiada majoriti di Parlimen.

Perkara ini sebenarnya sudah dijangka sejak dari awal lagi apabila Muhyiddin sebelum ini menyuarakan bahawa pengundurannya tidak menyelesaikan kemelut politik yang timbul memandangkan kebanyakan parti tiada kerusi majoriti.

Pada masa sama, jemaah Kabinet sedia ada juga terpaksa dibubarkan sejajar dengan kehendak perlembagaan dan satu Kabinet baharu perlu dibentuk semula selepas Perdana Menteri baharu dilantik.

Ia sekali lagi memerlukan perbincangan dan rundingan yang panjang dalam kalangan parti atau gabungan politik sebelum kerajaan dapat berfungsi semula seperti sedia kala.

Prosesnya sudah pasti mengambil masa yang panjang kerana ia sama seperti pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Walau apapun yang berlaku, seperti yang disuarakan Muhyiddin dalam perutusan khasnya selepas meletak jawatan petang tadi, program vaksinasi Covid-19 untuk mencapai imuniti kelompok pada Oktober depan perlu dipastikan tidak terjejas.

Rakyat yang sudah lama berdepan dengan situasi pandemik dan ekonomi yang tidak menentu, pastinya tidak mahu kemelut politik terus berpanjangan dan menjadi beban yang menggagalkan usaha menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|