Covid-19 Sabah: Aktiviti sukan punca jangkitan kluster baharu di Lahad Datu

Covid-19 Sabah: Aktiviti sukan punca jangkitan kluster baharu di Lahad Datu

Kota Kinabalu: Aktiviti sukan dipercyai menjadi punca jangkitan Covid-19 yang mencetuskan kluster baharu di daerah Lahad Datu, hari ini.

Kluster Cenderawasih itu dikesan selepas seorang anggota keselamatan disahkan positif Covid-19 ketika menjalani saringan bergejala di Klinik Kesihatan Tungku pada 11 Ogos lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata lelaki berumur 39 tahun itu mengalami gejala sejak 7 Ogos lalu

“Terdapat satu kluster baharu direkodkan hari ini. Kluster Cenderawasih, Lahad Datu melibatkan penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

“Kes indeks adalah anggota keselamatan iaitu lelaki berumur 39 tahun yang disahkan positif di Klinik Kesihatan Tungku pada 11 Ogos 2021, selepas bergejala sejak 7 Ogos 2021.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan namun siasatan awal mendapati kontak rapat pernah melakukan aktiviti sukan bersama kes indeks,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Masidi berkata, pengesanan secara aktif dan saringan terhadap kontak rapat mengesan tujuh lagi kes positif, menjadikan kumulatif positif kluster itu sebanyak lapan kes termasuk satu kes baharu.

Katanya, seramai 27 daripada 35 kontak yang disaring, masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Semua kes positif Covid-19 dalam kluster ini sudah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Lahad Datu, manakala kontak rapat diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sapagaya, Lahad Datu,” katanya

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan 1,728 kes baharu hari ini dengan 15 kematian dengan masing-masing lima kes di Kota Kinabalu dan Tawau, manakala masing-masing satu kes di Sandakan, Penampang, Keningau, Tuaran dan Sipitang.

Sementara itu, seramai 1,508 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 5,131 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,181 orang di hospital, 3,903 orang di PKRC awam, 39 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara serta lapan orang lagi di fasiliti swasta.

Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) pula seramai 196 orang dan 66 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|