Pemimpin pro PN di Sabah akur dengan pengunduran Muhyiddin

Pemimpin pro PN di Sabah akur dengan pengunduran Muhyiddin

Kota Kinabalu: Pemimpin yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Sabah akur dengan pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan pembubaran Kabinetnya hari ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dalam maklum balas ringkasnya berhubung perkara itu berkata, pihaknya patuh dengan kehendak perlembagaan.

“Kita patuh dengan kehendak perlembagaan. Terima kasih,” katanya dalam kenyataan ringkas tanpa sebarang ulasan lanjut, hari ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu sebelum ini mengajak parti pembangkang supaya merebut tujuh cadangan dikemukakan Muhyiddin untuk membantu menstabilkan politik negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata sebagai wakil dari Sabah, beliau bangga dengan pencapaiannya walaupun bertugas dalam tempoh yang singkat.

Beliau yang sebelum ini memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam Kabinet Muhyiddin, berkata sepanjang menjawat jawatan itu beliau sempat melaksanakan beberapa projek pembangunan di Sabah.

“Antara usaha yang dilaksanakan ialah penambahan menara telekomunikasi baharu, menaik taraf rangkaian komunikasi dan internet sedia ada, membina beberapa projek jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman Sabah serta menaik taraf infrastruktur kampung untuk keselesaan dan kemudahan rakyat.

“Tugas dan usaha saya akan berterusan dalam apa juga kapasiti demi menjunjung amanah rakyat. Terima kasih sekali lagi kepada semua. Maaf atas segala kesilapan dan kelemahan,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada warga Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan agensi di Jabatan Perdana Menteri yang memberi komitmen dan kerjasama sepanjang beliau menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) sejak lebih setahun lalu.

“Walaupun berhadapan dengan pelbagai batasan dan keadaan dunia yang sangat mencabar dan luar biasa, saya telah usahakan yang terbaik untuk merancang dasar-dasar ekonomi negara,” katanya.

Ahli Parlimen Pensiangan itu adalah antara pemimpin terawal dari Sabah yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan baharu PN pada akhir Februari tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|