PGA Sabah rampas rokok seludup

PGA Sabah rampas rokok seludup

Kota Kinabalu: Longgokan plastik hitam di dalam sebuah kenderaan mencurigakan pihak berkuasa, di sini, sehingga membongkar kegiatan penyeludupan rokok bernilai lebih RM100,000, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, seorang lelaki yang memandu Proton Waja dalam keadaan mencurigakan ditahan di Jalan Utama, Palm Height Residence, di sini, untuk pemeriksaan.

Operasi Op Kontraban yang diarahkan Pegawai Pemerintah Batalion 17 PGA Superintendan Rajab Ahad Ismail itu kemudiannya berjaya menemui 780 karton rokok pelbagai jenama tanpa cukai.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil
pemeriksaan mendapati, semua rokok dipercayai diseludup itu disimpan di bahagian tempat duduk belakang dan bonet.

Katanya, siasatan lanjut mendapati terdapat 780 karton rokok pelbagai jenama tanpa cukai dipercayai dibawa masuk untuk pasaran tempatan.

“Antara jenama rokok yang diseludup masuk adalah Premium, Astro Filter Kings, Astro Menthol King, LA Bold, Nice Bold dan Gudang Garam.

“Semua rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM100,588 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua rokok berkenaan terus dirampas dan suspek kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM 115,188 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|