Staf kesihatan cetus kluster

Staf kesihatan cetus kluster

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster melibatkan staf kesihatan telah dikesan di Sabah hari ini.

Jurucakap COVID-19 bagi negeri ini, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Kluster Simpang Tiga itu dikategorikan sebagai kluster golongan berisiko tinggi dan telah merebak di sebuah pusat perubatan di daerah Ranau

“Kes indeks merupakan staf kesihatan di jabatan kecemasan pusat terbabit, iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 18 Julai lalu.

“Daripada 417 kontak rapat yang disaring, 14 kes positif COVID-19 dikesan termasuk tiga kes baharu hari ini.

“Jumlah itu merangkumi lapan kes di tempat kerja iaitu petugas kesihatan, sementara enam kes lagi merupakan kontak serumah masing-masing tiga kes di Kg. Lembah Permai dan Kg. Sokid Bundu Tuhan,” katanya sambil menambah bahawa punca jangkitan masih dalam siasatan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata lima lagi kluster dikesan hari ini, iaitu Kluster Jalan Tungku (Lahad Datu), Kluster Gerbang Kauran (Keningau), Kluster Tinabau (Kinabatangan), Kluster Kg Sogo-Sogo (Tongod) dan Kluster Gipan Kolombong – (Kota Kinabalu, Tuaran).

Sabah hari ini mencatatkan sebanyak 818 kes baharu COVID-19 hari ini, dengan dua kes kematian dilaporkan dari Tawau dan Papar.

“Penyumbang utama kes pada hari ini adalah daripada saringan kontak rapat iaitu 364 kes atau 44.50% daripada kumulatif kes harian, diikuti saringan kluster sedia ada dengan 148 kes atau 18 peratus.

“Manakala, bagi saringan bersasar sebanyak 104 kes atau 12.71 peratus dimana 23 kes dari jumlah itu direkod sebagai yang tertinggi di daerah Kunak.

“Manakala sarıngan bergejala menyumbang kepada 103 kes atau 12.59 peratus,” katanya lagi.



-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|