Bayi lelaki masih hidup ditemui di celah pelepah sawit

Bayi lelaki masih hidup ditemui di celah pelepah sawit

Semporna: Bayi lelaki yang masih bernyawa dengan berbalut tuala ditemui di celah pelepah sawit di kebun sawit, Kampung Lahat Lahat, Jalan Tanjung Kapor, hari ini.

Bayi cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan kurang 24 jam sebelum ditemui seorang lelaki yang juga penduduk kampung berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, bayi itu kelihatan cukup sifat dipercayai baru dilahirkan sebelum ditemui seorang lelaki yang kemudiannya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Katanya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui berbalut tuala di celah pelepah sawit.

“Bayi masih hidup tanpa sebarang dokumen kemudian dibawa ke Hospital Semporna bagi tujuan rawatan seterusnya akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.

Menurutnya, bayi seberat 2.85 kilogram itu disahkan dalam keadaan sihat kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak Hospital Semporna, untuk pemantauan rapi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|