Jumlah Covid-19 di Sabah terus meningkat 818 kes

Jumlah Covid-19 di Sabah terus meningkat 818 kes

Kota Kinabalu: Jumlah kes baharu Covid-19 di negeri ini terus meningkat apabila merekodkan 818 kes hari ini dengan saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada peningkatan berkenaan.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak 364 kes atau 44.4 peratus daripada jumlah kes baharu, hari ini, adalah hasil daripada saringan kontak rapat.

“Antara penyumbang kes baharu hari ini ialah kluster sedia ada dengan 148 kes atau 18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, saringan bersasar (104 kes atau 12.7 peratus) dan saringan bergejala (103 kes atau 12.6 peratus).

“Kes baharu menjadi semakin tinggi kerana terdapat banyak kes disebabkan jangkitan di kalangan kenalan mereka yang positif wabak terbabit sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, sebanyak sembilan daerah di Sabah pada hari ini turut mencatat kes baharu melebih 25 iaitu Papar (37), Tuaran (44), Beluran (44), Tawau (55), Sipitang (57), Beaufort (66), Keningau (69), Penampang (77) dan Kota Kinabalu (167).

Katanya, enam lagi kluster baharu direkodkan di Sabah iaitu Kluster Jalan Tungku di Lahad Datu, Kluster Gerbang Kauran (Keningau), Kluster Tinabau (Kinabatangan), Kluster Kampung Sogo-Sogo (Tongod), Kluster Gipan Kelombong (Kota Kinabalu, Tuaran) dan Kluster Simpang Tiga Ranau (Ranau).

“Sekali lagi ditekankan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tahap pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang tinggi perlu patuhi oleh rakyat Sabah untuk membendung penularan kes yang semakin meningkat,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|