Drone untuk pemantauan dan hebahan

Drone untuk pemantauan dan hebahan

Penampang: Selari dengan perkembangan teknologi moden, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tampil dengan kelainan menerusi penggunaan drone untuk melakukan pemantauan dan hebahan.

Usaha itu dijalankan hasil kerjasama skuad Aman Wanita (AMANITA) IPD Penampang dengan kolaborasi bersama Unit Drone Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah.

Ia bagi menjalankan aktiviti hebahan dan pemantauan mengenai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Mohd Haris melihat sendiri dron yang digunakan untuk melakukan pemantauan dan hebahan di kawasan Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, inisiatif itu dijalankan dengan mengambil kira struktur bentuk muka bumi di Daerah Penampang dan Putatan.

Katanya, AMANITA memilih tiga lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk dan juga kawasan tinggi serta berbukit antaranya Country Heights, Vista Minintod dan PPR Serigai Putatan.

“Selain itu, kepelbagaian bahasa dan etnik menjadikan penugasan kali ini lebih menarik apabila menggunakan tiga bahasa tempatan iaitu Bahasa Kadazan, Bahasa Bajau serta Bahasa Melayu.

“Pemantauan dan hebahan dibuat melalui udara dengan menggunakan drone DJI Matrice 300 RTK yang dikawal kemas oleh Pasukan Unit Drone PGU Sabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Turut hadir pada pelancaran program berkenaan ialah Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Asisten Superintendan Abd Jain Asbah, Ketua AMANITA, Inspektor Arisanti Aziz dan Komander Operasi Juruterbang, Unit Dron PGU Sabah, Inspektor Muhammad Adam Mat Deris.

Pegawai kanan IPD Penampang turut melakukan hebahan melalui edaran risalah mengenai SOP Covid-19.

Mohd Haris berkata, selain hebahan menerusi ruang udara, Skuad AMANITA turut mengedarkan 200 risalah mengenai SOP Covid-19 dan juga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, ia dengan memasukan risalah ke dalam peti surat dan juga mengagihkan secara ‘meet and greet’ dengan suri rumah dan kaum wanita yang berada di kawasan perumahan berkenaan.

“Kolaborasi seumpama ini adalah usaha ‘serampang dua mata’ dalam menghasilkan penugasan yang lebih efisien dan strategik bukan saja di darat malahan menerusi ruangan udara sekaligus,” tegasnya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|