PGA Sabah gagalkan cubaan seludup petrol

PGA Sabah gagalkan cubaan seludup petrol

Kota Kinabalu: Cubaan sekumpulan penyeludup membawa keluar petrol gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, di perairan laut barat Pulau Mataking, Semporna, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, sekumpulan lelaki yang menaiki tiga bot laju dikesan bergerak dari perairan Kalapuan menuju ke arah Pulau Sitangkai, Filipina.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi dijalankan atas arahan Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitendan Yaakob Murad.

Katanya, sebaik dikesan, pasukan PGA yang sedang melakukan rondaan laut Op Benteng Covid-19, cuba merapati ketiga-tiga bot untuk pemeriksaan.

“Ketiga-tiga bot yang menyedari kehadiran pihak berkuasa terus memecut laju untuk melarikan diri ke perairan antarabangsa.

“Bagaimanapun, dua daripadanya berjaya dipintas manakala satu lagi sempat meloloskan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot berkenaan membawa 51 tong berisi 30 liter minyak petrol.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 18 dan 32 tahun itu turut gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Jumlah rampasan dalam kes ini dianggarkan sebanyak RM34,601 berdasarkan harga pasaran semasa petrol.

“Kedua-dua tangkapan bersama barang rampasan termasuk bot dan enjin kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohd Abduh berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|