Covid-19: Kes di Sabah melonjak lagi

Covid-19: Kes di Sabah melonjak lagi

Kota Kinabalu: Sabah sekali lagi merekodkan lonjakan kes baharu Covid-19 dengan sebanyak 1,291 kes semalam, iaitu yang tertinggi direkodkan sejak Januari lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 229 kes daripada 1,062 kes yang dilaporkan kelmarin.

Katanya, kontak rapat kekal sebagai penyumbang utama kepada kes harian di Sabah iaitu 772 kes atau hampir 60 peratus, diikuti kes bergejala yang tidak diketahui punca atau sporadik juga kekal tinggi, iaitu 299 kes atau 23.16 peratus.

“Di daerah Kota Kinabalu, 107 kes daripada 282 kes yang dicatat hari ini (semalam) adalah melalui saringan bergejala iaitu sebanyak 38 peratus. Di Tuaran, 35 peratus daripada jumlah kes juga adalah daripada kategori bergejala,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Sementara itu, katanya kluster sedia ada menyumbang 70 kes atau 5.42 peratus daripada jumlah kes keseluruhan, manakala 73 kes lagi atau 5.65 peratus adalah daripada saringan bersasar di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagi jangkitan mengikut daerah, Masidi berkata empat daerah mencatat kes tiga digit, iaitu Kota Kinabalu (282), diikuti Tawau (177), Penampang (131) dan Papar (112).

“Lima daerah pula merekod jumlah kes harian melebihi 50 kes, iaitu Tuaran (96), Sandakan (72), Sipitang (54), Beaufort (54) dan Keningau (52).

“Empat daerah lagi melepasi 20 kes harian, iaitu Kinabatangan (21), Kota Belud (28), Putatan (31) dan Ranau (40) kes. Semua daerah di Sabah mencatatkan kes baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata tiada kluster baharu direkodkan semalam, namun lima kematian dilaporkan iaitu tiga di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tuaran serta Sandakan.

Katanya, seramai 770 pesakit pula dilaporkan sembuh, manakala seramai 4,402 pesakit sedang menerima rawatan termasuk 133 orang dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 54 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|