UMNO Sabah kekal bersama GRS

UMNO Sabah kekal bersama GRS

Kota Kinabalu: UMNO Sabah hari ini menjelaskan pendiriannya untuk terus kekal dan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam satu kenyataan malam ini, UMNO Sabah menyatakan harapan agar pendiriannya itu dihormati semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat serta negeri Sabah.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada UMNO Sabah dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) yang lalu akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan.

“Oleh itu, UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal dan menyokong GRS di bawah kepemimpinan YAB Datuk Seri Hajiji Noor,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan UMNO Sabah menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara supaya
semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

Jelas kenyataan itu lagi, seperti termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, semua saf kepemimpinan dan ahli UMNO Sabah menumpahkan sepenuh taat setia kepada Raja-Raja Melayu dan berikrar untuk terus mendukung serta memayungi Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri.

“UMNO Sabah berdoa dan berharap agar kemelut politik di Semenanjung dapat diselesaikan secara berhemah, harmoni dan bijaksana demi kemaslahatan negara dan rakyat.

“Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa jua keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan diakuri oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

1,152 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!