Khabar angin minta pengunjung SICC jalani saringan Covid-19 tidak benar

Khabar angin minta pengunjung SICC jalani saringan Covid-19 tidak benar

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri hari ini menafikan khabar angin meminta orang ramai yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu untuk menjalani saringan Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perkara itu yang tular di media sosial dikaitkan dengan kehadiran beberapa pengunjung di SICC pada tarikh berkenaan yang kononnya positif Covid-19.

“Ditegaskan bahawa arahan yang tular ini bukanlah bersumber daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melainkan daripada golongan yang tidak bertanggungjawab.

“Orang awam tidak perlu risau untuk mengunjungi SICC kerana semua ruangan dalam SICC adalah sentiasa disanitasi. Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kendiri adalah sangat ketat di kalangan orang awam dan juga petugas SICC sendiri,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan vaksinasi, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pada hari ini sebanyak 36,206 suntikan baharu dos pertama vaksin Covid-19 dilaksanakan di seluruh negeri.

Bagi dos kedua vaksin, katanya seramai 11,989 individu menerima suntikan pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan suntikan yang diberikan di Sabah pada hari ini sebanyak 48,195 dos.

“Pendaftaran penerima vaksin pada hari ini ialah sebanyak 11,909 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar setakat ini sebanyak 1,250,606, iaitu 1,166,949 melalui aplikasi MySejahtera, diikuti melalui laman web (83,385) dan talian vaksinasi (272) atau bersamaan 45.3 peratus daripada populasi di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|