Kota Marudu: Berhenti mendengar khabar angin tidak tepat mengenai vaksin Covid-19 dan dapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Nasihat itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili kepada rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, ramai yang masih bimbang dan takut terhadap vaksin Covid-19 disebabkan khabar angin dan maklumat tidak tepat yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Perbuatan itu boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia divaksinasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Program Vaksinasi Jangkauan Luar di PPV Marak-Parak, dekat sini, hari ini.
Katanya, akibat khabar angin itu ada individu yang layak divaksinasi memilih untuk meninggalkan temujanji mereka.
“Ada yang tidak datang ke PPV kerana percaya dengan maklumat yang tidak tepat ini dan akhirnya vaksin terpaksa dipulangkan sekali gus menjejaskan usaha untuk memberi vaksin kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, mengenai isu bekalan vaksin di Sabah, Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, berkata beliau yakin jumlah vaksin akan bertambah dalam bulan ini.
“Kita sudah membangkitkan isu ini kepada pihak yang berkaitan dan mereka mendengar apa yang kita suarakan dan kita berharap bekalan akan meningkat pada bulan ini.
“Isu ini bukan saja berlaku di Kota Marudu, malah turut dilaporkan di daerah lain,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapannya agar tambahan bekalan vaksin untuk Sabah dapat mengatasi kejadian pembatalan atau penangguhan temujanji vaksinasi.
Sementara itu, katanya seramai 692 penduduk menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sepanjang dua hari program jangkauan luar vaksinasi di Marak-Parak.
“Saya gembira melihat ramai warga tua datang ke program ini. Maklum balasnya bagus dan saya berharap momentum ini akan berterusan di kawasan yang lain juga.
Sehingga kini, sebanyak 17,557 penduduk Kota Marudu sudah menerima suntikan dos pertama vaksin, manakala 7,156 orang sudah menerima dua dos lengkap.
Bagi daerah kecil Matunggong, katanya daripada kira-kira 10,000 penduduk layak divaksin, seramai 7,708 orang sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 1,059 orang sudah lengkap dua dos vaksin.
Maximus turut meminta agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memainkan peranan masing-masing dalam menyokong pelaksanaan PICK.
“Generasi muda yang lebih banyak terdedah kepada maklumat, seharusnya menasihatkan keluarga dan kawan mereka supaya tidak takut mengambil vaksin Covid-19.
“Kita perlu melindungi diri kita terlebih dahulu bagi melindungi orang lain,” katanya.
-Deasoka