JHL Sabah bersama NGO sumbang 125 bakul makanan

JHL Sabah bersama NGO sumbang 125 bakul makanan

Kota Kinabalu: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah berjaya mengumpulkan 125 bakul makanan untuk disumbangkan kepada golongan terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Penyerahan bakul makanan berkenaan dijalankan secara serentak di dua daerah iaitu Kinabatangan dan Nabawan.

100 daripada bakul makanan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga hadir di Dewan Kampung Simatuoh, Nabawan.

Manakala 25 bakul makanan lagi diedarkan kepada golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di Kinabatangan oleh pegqwai JHL Sylvia Alsisto dan Hussien Muin.

Kenyataan yang dikeluarkan JHL Sabah berkata, pihaknya berjaya mengumpul wang sebanyak RM12,855 hasil sumbangan kakitangan jabatan bersama rakan kongsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, antara NGO yang tampil menghulurkan bantuan adalah Orangutan UK Appeal, Oregon Zoo, HUTAN, Eco Health Alliance, Danau Girang Field Centre, 1Stop Borneo Wildlife dan WWF Malaysia (Sabah).

“Dengan jumlah wang yang terkumpul, 125 bakul makanan berjaya disediakan untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

“Usaha ini adalah inisiatif dan kerjasama semua kakitangan JHL Sabah untuk membantu meringankan beban golongan sasar sekali gus merapatkan hubungan antara jabatan dengan masyarakat di kawasan Nabawan dan Kinabatangan amnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, JHL juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Daerah Nabawan dan Pejabat Daerah Kinabatangan yang memberikan kerjasama bagi menjayakan program penyerahan bakul makanan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|