Kerjasama dengan Pharmaniaga jamin kelancaran imunisasi Covid-19 di Sabah

Kerjasama dengan Pharmaniaga jamin kelancaran imunisasi Covid-19 di Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menjalin kerjasama dengan syarikat Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd sebagai langkah proaktif bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah berjalan lancar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerjasama itu adalah pelan jangka panjang dan pendek memastikan pelaksanaan PICK tidak terjejas jika berlaku gangguan penghantaran bekalan vaksin.

Katanya, langkah itu juga mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 di negeri ini yang kembali mencatat jumlah kes harian yang tinggi sejak kebelakangan ini.

“Pertama, mereka (Pharmaniaga) mempunyai fasiliti penyimpanan di Kota Kinabalu dan kedua, mereka ada kemampuan untuk mengeluarkan vaksin Covid-19 dengan jumlah yang besar dalam masa yang singkat.

“Jadi saya rasa kita harus menggunakan sepenuhnya fasiliti syarikat ini dan pada masa yang sama dapat membantu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam aspek perolehan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik di antara WH Medicare Sdn Bhd, menerusi Qhazanah Sabah Sdn Bhd, bersama Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Qhazanah Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Pengerusi WH Medicare Sdn Bhd, Datuk Dr Johnson Tee dan Pengerusi Eksekutif Qhazanah Sabah, Mohd Shukor Abdul Mumin.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II, berkata kerjasama itu turut mengambil kira usaha ke arah pembukaan semula industri tempatan yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Jelasnya, pendekatan itu memberi peluang kepada sektor industri membuka semula operasi dan membenarkan pekerja mereka kembali bekerja dengan mewujudkan suasana selamat bagi mereka bekerja.

“Kerjasama ini adalah satu perkembangan yang baik, lebih-lebih lagi dalam usaha kita untuk mempercepatkan imuniti kelompok di Sabah.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua syarikat besar terutama sekali syarikat perladangan, supaya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan mendapatkan vaksin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|