Lelaki muntah darah sebelum pengsan

Lelaki muntah darah sebelum pengsan

Kota Kinabalu: Seorang peniaga di sebuah gerai tepi jalan di Lok Kawi, di sini, pengsan selepas secara tiba-tiba muntah darah, hari ini

Dalam kejadian jam 3.25 petang itu, ia disedari orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk tindakan penyelamatan awal.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan, Peie @ Noh Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.28 petang.

Katanya, bertindak atas panggilan kecemasan berkenaan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang segera mengerahkan tiga pegawai serta anggota unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.

“Pasukan EMRS yang tiba di lokasi segera menjalankan pemeriksaan awal terhadap mangsa yang muntah darah dalam kejadian ini.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi kemudiannya ditamatkan selepas memastikan keadaan lokasi serta persekitaran selamat dan punca kejadian masih dalam siasatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|