Semak semula PPN, benarkan operasi semua sektor ekonomi dan ketatkan SOP – SEAC

Semak semula PPN, benarkan operasi semua sektor ekonomi dan ketatkan SOP – SEAC

Kota Kinabalu: Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu disemak semula memandangkan pelaksanaannya dilihat lebih memburukkan keadaan ekonomi dan memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat, termasuk di Sabah.

Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), Tan Sri David Chu, berkata kerajaan Pusat perlu meneliti semula pelaksanaan pelan berkenaan kerana sektor ekonomi akan terus terjejas jika mematuhi syarat yang ditetapkan.

Beliau memberi contoh di Sabah yang kini diletakkan di bawah fasa dua PPN, namun kebanyakan sektor ekonomi masih ditutup menyebabkan masih ramai ketiadaan pekerjaan.

“Malah, walaupun Sabah sudah memasuki fasa ketiga PPN, banyak sektor terutama yang dikategorikan sebagai bukan perlu akan terus ditutup. Ekonomi penting kerana ia menyediakan pekerjaan.

“Tiada siapa mahu tiada pekerjaan dan pemilik perniagaan juga tidak mampu menutup terus operasi disebabkan `lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya melaksanakan `lockdown’ bersasar dan bukannya di semua kawasan.

Jelasnya, pelaksanaan `lockdown’ atas nama PKP, PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersasar (PKPB) gagal dalam usaha melandaikan kes Covid-19.

“Selepas berbulan `lockdown’, kes Covid-19 kini mencecah lebih 20,000 kes sehari, jelas bahawa kawalan pergerakan tidak memberi kesan.

“Jika tidak berkesan, kenapa kita perlu meneruskan langkah berkenaan? Ramai rakyat berdepan masalah memastikan ada makanan dapat dihidangkan di meja makan, selain membayar sewa.

“Bagi jutaan rakyat di negara ini, situasi ekonomi yang malap adalah lebih buruk berbanding Covid-19. Justeru, kerajaan Pusat perlu menyegerakan pembukaan semula semua sektor ekonomi sama ada dalam kategori perlu atau bukan perlu,” katanya.

David berkata, semua perkara perlu dilaksanakan serentak, iaitu meningkatkan populasi penduduk yang divaksinasi, diikuti dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) dan pada masa yang sama membuka ekonomi.

Tekannya, kerajaan dan MKN perlu menjemput sektor korporat dan mereka yang terbabit dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengikuti mesyuarat SOP untuk memberikan pandangan mereka.

Katanya, antara SOP yang kerajaan perlu kuatkuasakan termasuk hanya membenarkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi untuk membuka operasi perniagaan, termasuk `bos’, kakitangan dan pelanggan.

“Semakin ramai orang yang terdesak dan bimbang dengan kehidupan mereka. Menunggu untuk kes Covid-19 turun sebelum membuka semula semua sektor bukan penyelesaiannya.

“Sebagai contoh, sektor pelancongan sudah lama ditutup dan ada antara operator pelancongan yang masih tergantung dan berharap mereka dibenarkan membuka semula operasi dalam masa terdekat untuk memulihkan semula kerugian.

“Namun, ramai juga yang mengambil keputusan untuk menutup terus perniagaan bagi mengelak kerugian dan kesannya ramai yang kehilangan pekerjaan,” katanya.

Pemandangan bas pelancong banyak tersadai di merata tempat, ditinggalkan hingga mula mereput katanya adalah antara situasi buruk dihadapi pengusaha pelancongan ketika ini.

“Kerajaan sepatutnya menggalakkan bos-bos membawa pekerja mereka, sama ada yang sah atau tidak untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

“Tiada guna hanya memberikan vaksin kepada penduduk tempatan dan membiarkan pekerja asing. Dipercayai ada ratusan ribu pekerja sah dan pendatang tanpa izin (Pati) di Sabah.

“Membiarkan mereka berkeliaran tanpa diberikan vaksin lengkap akan menyebabkan kita tidak dapat mencapai imuniti kelompok. Belakangkan perkara untuk menangani masalah Pati di negeri ini, berikan mereka vaksin dan lindungi rakyat terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, katanya SOP hanya dua pelanggan bagi sebuah meja di restoran perlu diubah, termasuk membenarkan lima orang duduk semeja bagi meja yang boleh menampung 10 pelanggan.

Selain itu, katanya syarat penumpang kenderaan juga perlu diubah dengan membenarkan empat orang dalam sebuah kenderaan untuk sebuah keluarga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|