PGA rampas rokok tidak bercukai lebih RM60,000

PGA rampas rokok tidak bercukai lebih RM60,000

Semporna: Seorang penyeludup rokok tidak bercukai kerugian mencecah lebih RM60,000 selepas terpaksa lari meloloskan diri dari ditahan pihak berkuasa dalam Op Benteng Covid-19 di perairan Ambo-Ambo, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, lelaki yang menaiki sebuah bot yang menggunakan enjin 84 kuasa kuda lari meninggalkan sebanyak 2,400 kotak rokok dipercayai baru diseludup masuk.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, dalam operasi itu, sepasukan anggota dan pegawai Batalion 14 PGA cuba menahan berkenaan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun katanya, sebaik cuba dihampiri, suspek terus bertindak memecut ke tepi pantai berkenaan dan terus lari mengikut jalan darat sehingga gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap bot berkenaan, pasukan operasi menemui tiga kotak besar berisi rokok seludup jenama L3.

“Semua rokok berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa balik bersama bot dan enjin sangkut ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Abdul Rani berkata, semua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM60,360 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti siasatan kes berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|