PGA rampas diesel bersubsidi, dua lori tanker bernilai lebih RM1 juta cuba diselewang

PGA rampas diesel bersubsidi, dua lori tanker bernilai lebih RM1 juta cuba diselewang

Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan 64,000 liter minyak diesel dalam serbuan di jeti nelayan Kampung Nelayan, Batu Putih, Sandakan, kelmarin.

Dalam Operasi Bersepadu kira-kira jam 9 malam itu, semua minyak diesel bersubsidi dan lori tangki yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, serbuan dijalankan pasukan Tiger Platoon Batalion 15 bersama pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Operasi Cegah Pati (OCP) ESSCOM.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui dua lori tanker dan tangki yang berisi keseluruhan 64,000 liter minyak diesel bersubsidi.

“Dalam operasi itu, pasukan operasi turut menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyelewengan berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.

“Turut disita dua lori tanker bersama beberapa peralatan pam minyak untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam pemeriksaan dan serbuan itu mendapati telah disyaki berlaku penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Semua barangan rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.08 juta.

“Kes diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|