Pengakap Zon Satu Labuan terima Anugerah Rambu 2020

Pengakap Zon Satu Labuan terima Anugerah Rambu 2020

Labuan: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Zon Satu, baru-baru ini mengadakan Majlis Penganugerahan Rambu 2020 kepada ahli Pengakap di Labuan.

Anugerah itu diberikan kepada mereka yang berjaya melengkapkan semua ujian dan aktiviti diperlukan dalam skim pengakap mengikut bidang masing-masing.

Seramai lapan ahli Pengakap kanak-kanak dan remaja menerima anugerah berkenaan, masing-masing empat Tanda Cemerlang Rambu Kanak-Kanak Anugerah Ketua Pesuruhjaya Negeri atau Rambu Biru dan Tanda Cemerlang Rambu Pengakap Remaja Anugerah Ketua Pengakap Negara atau Rambu Kuning.

Bagi Rambu Biru, penerimanya ialah empat ahli Pengakap Kanak-Kanak dari Sekolah Kebangsaan (SK) Membedai iaitu Mohamad Noraiman Danial, Muhammad Nurhamizan Adli, Nur Anis Nadhirah dan Nur Fatin Syamimi.

Mereka lulus tiga Lencana Ujian Keris dan melengkapkan tujuh Lencana Kepandaian yang melayakkan mereka menerima anugerah berkenaan di samping sentiasa berkelakuan baik dan mempunyai sifat kepimpinan yang baik dan boleh dicontohi.

Rambu Kuning pula diterima empat prlajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara, Labuan iaitu Rosanne Hazel Anak Robert, Daryl Karlen, Megawati Sulaiman dan Latipa Basir.

Mereka lulus dan mendapat semua lima Lencana Tertinggi serta lulus syarat yang ditetapkan iaitu lulus semua Lencana Tertinggi sekurang-kurangnya dua bulan, menunjukkan sikap dan keupayaan kepimpinan cemerlang yang boleh dicontohi, mengamalkan prinsip Pengakap dan berkelakuan baik serta disegani.

Majlis Pengurniaan Anugerah dan Pemakaian Rambu 2020 disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan, Datuk Seri Mohd Alias A Rahman.

Turut hadir ialah Setiausaha Kehormat Majlis Pengakap Negeri, Skip Mohd Farihi Ab Halim; Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Negeri, Skip Mohd Hasnizan Hasin; JU SDGs Programme Kebangsaan, Skip Theodorus Clarence Tessensohn; Pengerusi Program PPM Labuan, Skip Angela Joseph dan Pesuruhjaya Daerah Zon Satu PPM Labuan, Skip Niza Utiya Hamzah.

Majlis yang diadakan di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Pagar WP Labuan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa dan keluarga ahli pengakap yang sentiasa memberi sokongan kepada PPM WP Labuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|